Warkah Khas, Teman Berjaya
Perlahan-lahan aku titipkan tarian jari di papan kekunci komputer kepunyaan sebuah syarikat terjemahan termasyhur di Kuala Lumpur ini. Ya, aku gembira. Rakan-rakan KEBAYU, rakan-rakan APB, rakan-rakan di pangkuan sekolah dahulunya dan sekalian semuanya.Ya, jutaan tahniah sahabat sekalian.
Sesungguhnya lirikan senyuman kalian jelas terlihat. Bersama mak bapak, keluarga dan tersayang. Dengan jubahnya ala-ala Harry Porter (entah betol ke tak aku eja ni. biasa mengalami penyakit typo dan ketidakpastian dalam mengeja bahasa Inggeris adalah masalahku), tak kisahlah jubah besar sikit daripada baju-baju sebelumnya.
Semoga kenangan yang kalian palit bersama sepatu hitam kilat semalam menjadi antara boneka leteran untuk cucu-cucu kalian suatu masa kelak.
Maaf ... jika kehadiranku pada hari bersejarah itu tidak di alam yang nyata. Hanya sempat kukirimkan utusan yang tak seberapa pada beberapa teman untuk menunjukkan sayangnya aku pada kalian.
Okey, jiwang!
Ya, mungkin kekangan masa dan desakan yang menyebabkan aku tidak boleh menghantar surat layang kepada Bahagian Pengurusan & Sumber Manusia di officeku. Jadi, aku tebarkan senyuman sahaja ketika melihat paparan foto kalian di laman Facebook dan yang lain-lainnya.
Doaku ... agar kalian berjaya. Kata orang, "Permulaan Baharu". Tapi aku cukup yakin yang kalian lebih bersedia daripada segalanya.
Doakan sesi aku pula, beberapa bulan sahaja lagi, yang khabarnya dengan ketidakhadiran bapa tercinta. Takut demam katanya.
Tapi apapun, ingat dan percayalah, kejayaan kalian bukan atas sebab selimpang pink atau seberat mana Ijazah dan jubah di hari pertabalan, tetapi semuanya Allah yang beri.
Daripada teman,
Azizi Dain
Comments
Post a Comment