Salah siapa?: Harga minyak turun, rakyat masih merana.
Khabar gembira mengenai penurunan harga minyak awal tahun ini melegakan ramai pihak, khususnya mereka yang setiap hari 'menunggang' kenderaan ke tempat kerja.
Namun, adakah benar selepas penurunan harga tersebut menjadi faktor penurunan harga barangan lain seperti ayam, ikan dan udang?
Sangkaan penulis sama sekali meleset. Persoalannya, adakah penjual sengaja menaikkan harga sewenang-wenangnya atau pembekal yang menjadi faktor uttama kenaikan ini? Atau, ia disebabkan perayaan 'mereka' dah nak sampai, semua barang kena naik?
'Kita raya, mereka kaya. Mereka raya, kita papa.' pepatah ini sering menjadi dodoian penulis selama ini.
Baru-baru ini, penulis ada singgah di pasar berhampiran. Kenaikan harga barangan keperluan harian dari RM1 sehingga RM4 menyebabkan rata-rata pembeli dan peniaga terbeban dengan tekanan kewangan yang semakin menghimpit kehidupan mereka saban hari.
Seorang peniaga, Zamri Ismail, 47, berkata, kenaikan harga barang memang kerap berlaku tetapi kali ini cukup memberi kesan kepada peniaga sepertinya yang terpaksa berhadapan dengan pembeli.
“Pembekal mengenakan harga yang tinggi kepada kami menyebabkan rata-rata peniaga di sini terpaksa menawarkan harga tinggi agar tidak berlaku kerugian dalam perniagaan.
“Kenaikan yang paling ketara adalah ayam iaitu daripada RM6.50 kepada RM8 sekilogram, manakala ikan dan udang mengalami kenaikan sebanyak RM2 sehingga RM4 sekilogram,” katanya ketika ditemui.
Seorang peniaga nasi lemak, Mohd. Kamil Fauzan, 50, kenaikan harga barang seperti cili kering, kacang tanah dan barangan lain seperti plastik dan getah memberi implikasi negatif kepada perniagaannya.
Katanya, pada tahun lalu, cili kering boleh dibeli dengan harga RM12 sekilogram tetapi sekarang sudah mencecah RM13 sehingga RM14 sekilogram.
“Sama seperti harga kacang tanah yang naik daripada RM6.50 kepada RM8 sekilogram. Ini memberi tekanan kepada peniaga seperti saya. Harga nasi lemak tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya walaupun saya terpaksa beli barangan ini dengan harga tinggi,” katanya.
Seorang penjual ikan, Mohd. Jumat Saidan, 45, berkata, bekalan ikan yang diimport adalah antara faktor pembekal mengenakan harga yang tinggi kepada mereka.
Katanya, lebih daripada 70 peratus ikan yang dijualnya diambil dari Thailand dan pembekal mengenakan caj perkhidmatan penghantaran yang menyebabkan harganya melambung tinggi.
“Namun, saya bersetuju bahawa musim perayaan turut menjadi faktor kenaikan harga kerana permintaan yang tinggi daripada pembeli menyebabkan ramai pembekal mengambil kesempatan,” katanya.
Berbeza dengan seorang peniaga, Choon Kiat, 67, yang menanam sendiri sayur jualannya dan tidak menghadapi masalah dengan bebanan harga yang ditetapkan pembekal.
Bagaimanapun katanya, dia masih perlu mengikut harga yang ditetapkan di pasar itu bagi memastikannya tidak terlalu berbeza dengan peniaga lain.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Mohamad Abdul Manan, 46, menyifatkan harga di Pasar Pudu itu masih dalam lingkungan kemampuan pembeli.
“Walaupun terdapat kenaikan harga di sini, orang ramai masih boleh mendapatkan barangan keperluan mereka dengan harga yang berpatutan berbanding di tempat lain,” jelasnya.
Seorang lagi penjawat awam, Ganiseng Muthalu, 45, berkata, sebagai pengguna, dia tidak mempunyai pilihan lain walaupun kenaikan itu memberi kesan kepadanya.
Katanya, kenaikan harga barangan memang memberi kesan kepada orang ramai namun mereka tidak boleh terus menuding jari kepada pembekal dan penjual tanpa sebarang usul periksa.
Jadi salah siapa?
Comments
Post a Comment