SKEMA JAWAPAN US1 (KOMSAS) T4 MRSM BALING

Assalamualaikum WBT semua pelajar 4 Colombus!
Sila salin soalan dan skema jawapan untuk Ujian Selaras 1 MRSM Baling 2019 di buku nota KOMSAS.


Soalan 1: 
Jelaskan dua latar tempat yang terdapat dalam sebuah novel yang anda pelajari. [7 markah]

Jawapan 1:
Berdasarkan novel yang saya pelajari di tingkatan 4 iaitu Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin, terdapat dua latar tempat yang dikenal pasti.

Latar tempat yang pertama ialah Kampung Sentosa. Latar tempat ini dikenal pasti sebagai tempat Lili menghabiskan cuti persekolahannya di kampung kelahiran ibunya, iaitu Kampung Sentosa selama dua minggu. Di Kampung Sentosa jugalah, Lili menyelesaikan pelbagai perkara termasuk masalah kekeluargaan yang dialami oleh Che Jah dan suaminya, Seman.

Selain itu, latar tempat yang saya kenal pasti ialah Pekan Sentosa. Penulis menggambarkan bahawa bas ekspres yang dinaiki oleh Lili bersama-sama Geetha dari Kuala Lumpur tiba di Pekan Sentosa sebelum Lili dijemput oleh Rashid. Di Pekan Sentosa ini jugalah Lili pernah menjamu selera bersama Danel.



Soalan 2:
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan tiga perwatakan watak utama yang dapat dijadikan contoh kepada pembaca. [8 markah]

Jawapan 2:
Berdasarkan sebuah novel yang saya pelajari di tingkatan 4 iaitu Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin, terdapat tiga perwatan watak utama iaitu Lili yang dapat dijadikan contoh kepada pembaca.

Perwatakan watak utama yang pertama ialah seorang yang penyayang. Sebagai contoh, Lili amat menyayangi ibunya dengan mempertahankan maruah ibunya apabila datuknya, Haji Abdul Rahman memperkatakan sesuatu yang tidak elok terhadap ibunya.

Selain itu, perwatakan watak utama yang kedua ialah seorang yang bertanggungjawab. Sebagai contoh, Lili bertanggungjawab menjadi saksi kes keganasan rumah tangga Che Jah. Lili juga menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak muda dengan menyumbang pendapatnya dalam isu pemasangan khubah masjid di Kampung Sentosa.

Perwatakan watak utama yang terakhir ialah seorang yang berani. Sebagai contoh, Lili berani mendaki puncak bukit bersama-sama Geetha pada lewat petang untuk melihat kejadian matahari terbenam. Selain itu, perwatakan berani Lili juga boleh dilihat apabila dia menaiki bas seorang diri dari Kuala Lumpur ke Dungun, Terengganu walaupun baru sahaja berusia 17 tahun.


Soalan 3:
Berdasarkan  sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua contoh peristiwa nilai tanggungjawab yang terdapat dalam novel tersebut. [7 markah]

Jawapan 3:
Berdasarkan sebuah novel yang saya pelajari di tingkatan 4 iaitu Jendela Menghadap Jalan kaya Ruhaini Matdarin, terdapat dua contoh peristiwa nilai tanggungjawab yang terdapat dalam novel tersebut.

Contoh peristiwa yang pertama ialah peristiwa tanggungjawab seorang jiran  yang meleraikan pertengkaran. Sebagai contoh, Hajah Aishah Tan Abdullah iaitu nenek kepada Lili menjalankan tanggungjawab sebagai seorang jiran dengan segera ke rumah Che Jah untuk meleraikan pertengkaran antara wanita itu dengan suaminya, iaitu Seman.

Selain itu, contoh peristiwa nilai tanggungjawab yang saya kenal pasti ialah peristiwa tanggungjawab seorang pengamal perubatan terhadap pesakit. Sebagai contoh, Haji Abdul Rahman bertanggungjawab terhadap pesakitnya dengan merawat sedaya upaya pesakitnya itu menggunakan teknik perubatan tradisional yang berasaskan akar-akar kayu dan daun-daun herba.


Soalan 4:
Berdasarkan novel yang anda pelajari, bahagian peleraian cerita diakhiri dengan kegembiraan.

Jelaskan dua contoh peristiwa untuk membuktikan kegembiraan tersebut. [8 markah]

Jawapan 4:
Berdasarkan sebuah novel yang saya pelajari di tingkatan 4 iaitu Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin, terdapat dua contoh peristiwa yang membuktikan bahagian peleraian cerita diakhiri dengan kegembiraan.

Contoh peristiwa kegembiraan pada bahagian peleraian yang pertama ialah peristiwa kegembiraan seorang anak apabila melihat ibunya berbaik-baik semula dengan datuknya. Dalam bahagian peleraian ini, Lili digambarkan berasa amat gembira apabila melihat ibunya berbual-bual mesra  dengan datuknya, iaitu Haji Abdul Rahman walaupun kedua-dua mereka mempunyai masalah pada awalnya.

Selain itu, pada bahagian peleraian novel ini juga terdapat peristiwa kegembiraan seorang isteri yang dapat menyelesaikan masalah rumah tangga. Sebagai contoh, Che Jah berasa sungguh gembira setelah sekian lama bersabar dengan keganasan yang dilakukan oleh suaminya, iaitu Seman, akhirnya masalah rumah tangganya itu selesai dengan bantuan Lili dan penduduk kampung.



....selesai. 
Terima kasih kerana bersungguh-sungguh menuntut ilmu.
Semoga Allah merahmati pengorbanan kalian.


Ikhlas,
Cikgu Azizi




Comments

Popular posts from this blog

sudah berakhir episod si betong.

Cuti? Tak jadi masalah nak berbincang...

Quizizz dalam PdPc